Pages

February 19, 2011

Rehlah ke Bumi Syam


Perjalanan bermula dengan penuh teka teki. Tiada jawapan yang pasti dari kami samada untuk menyertai atau sebaliknya rehlah ke bumi Syam yang akan disertai oleh beberapa keluarga bagi memenuhi aktiviti sepanjang cuti sekolah. Jika ianya yang terbaik semoga  Allah permudahkan kata2 saya kepada suami memberi kekuatan padanya yang baru sahaja selesai menjalani prosedur ureterskopik membuang batu karang. Di lema..sehinggalah sehari sebelum tarikh berangkat kami memberikan kata putus.
'InsyaAllah kami sekeluarga akan menyertai rehlah ke Jordan..'kata suami kepada ustaz Hafiz yang sedari awal merancang rehlah melalui jalan darat ke bumi Syam ini.
Alhamdulillah setinggi syukur  kepada Allah swt yang telah mengizinkan untuk kami menyertai kembara perjalanan ke bumi Syam, bumi Isra’, bumi anbiya dan bumi para shuhada yang pernah menjadi saksi peristiwa  berkembangnya Islam di alam ini.
Dimulakan dengan bismillah dan doa semoga perjalanan kami ini dipermudahkanNya.
'Sekarang kita akan mula bermusafir..' saya memulakan bicara kepada anak-anak.
'Bermusafir tu apa?' soal si kakak.
'Musafir tu kita travel jauh yang kita niat semata-mata kerana Allah swt'.
'How many hours?' Soalan lagi
'Maybe 12 hours..' jawab saya.  

Perjalanan dari Riyadh ke Tabuk mengambil masa kira-kira 14 jam.  Setelah bermalam di Tabuk, kami meneruskan perjalanan ke Aqabah, pintu masuk ke Jordan atau juga dikenali sebagai Urdun.


Selesai urusan kastam dan imigresen kami meneruskan perjalanan ke Mu’tah.   Kami sampai di Mu’tah pada pukul 12 malam bersama rintik hujan, diselubungi oleh kedinginan dan kabus yang menyekat jarak pandangan, suasananya amat tenang dan damai. Kami menyusuri pekan kecil yang seolah-olah tidak berpenghuni menuju ke rumah pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah.  Kami bermalam di Mu’tah.
Pagi yang damai.. Suasana dipekan kecil itu sangat mendamaikan,  teruja melihat kehidupan yang berlangsung seawal pagi. Pemandangan yang berbeza dari yang biasa dilihat di Saudi, wanita-wanita keluar berurusan jual beli tanpa ditemani oleh suami atau saudara lelaki. Ziarah pertama kami ialah di Qal ah atau kubu Salehuddin al Ayubi di kota Karak yang dibina pada tahun 855 sebelum Hijrah ketika zaman Rom.

Qal ah Salehuddin al Ayubi di Karak


Petangnya pula kami ke medan tempat berlakunya Perang Mu’tah yang menyaksikan syahidnya sahabat-sahabat Rasulullah saw iaitu Zaid bin Harithah r.a, Jaafar bin Abi Talib r.a dan Abdullah bin Rawahah r.a. Pertembungan di antara tentera Islam dan tentera Rom yang akhirnya membawa kemenangan kepada panji-panji Islam di bawah pimpinan Khalid bin Al Walid. Kedamaian di bumi Mu’tah terus dirasai bersama hembusan angin senja di medan Perang Mu’tah.
Medan Perang Mu'tah
Perjalanan rehlah di teruskan menuju ke Laut Mati. Panorama dan kesegaran angin pagi menuruni jalan bergunung dari Karak ke pinggir Laut Mati sangat mengasyikkan. Subhanallah..ianya terapi minda dan hati. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Betapa besar hikmah kembara untuk mengambil iktibar dari kejadian alam. Mentaddabur alam, melihat tidak hanya dengan mata mendengar bukan hanya di telinga, tetapi gabungan pancaindera yang menimbul rasa menginsafkan jiwa.  Sungguh segala puji hanya milikNya, Pencipta alam semesta.
Pemandangan menuruni jalan gunung dari Karak ke Laut Mati

Laut Mati

Ketulan garam yang terbentuk

Muafakat membawa berkat, tatacara bermusafir yang memberi hikmah dan pengajaran. Kami sepakat untuk meneruskan perjalanan ke negara Syria. Senyuman terukir di wajah anak-anak, walau penat kerana lama masa perjalanan namun mood bermain dan berkawan yang sentiasa ada di minda mereka menyebabkan keseronokan mengatasi kebosanan.  Kehadiran kami di Syria disambut oleh hujan ais yang menambah kesejukan petang itu. Perjalanan diteruskan ke utara bahagian negara Syria iaitu Zabadani berhampiran Lebanon yang terletak hanya kira-kira 17 km sahaja. Pohonan zaitun tumbur subur seperti mana kelihatannya di Jordan.



Kegembiraan anak-anak terserlah apabila berpeluang bermain salji di puncak Jabal Bloudan, iaitu kira-kira 2 km dari Zabadani.


Souq al Hamidiyeh, Damascus
Kami seterusnya menuju ke ibu kota Syria, Damascus atau dalam bahasa arabnya dikenali sebagai Damsyik mengunjungi Pasar Al Hamidiyeh serta Masjid Umayyad iaitu di antara masjid yang tertua dan masyur di Damsyik. Bersebelahannya terletak makam Salehuddin al Ayubi.

Perjalanan pulang ke sempadan Saudi kami melalui al Ghurayyat yang jaraknya lebih dekat dengan Amman berbanding Aqabah.


Kenangan bersama peserta rehlah di Ghurayyat, Saudi Arabia

Kembara ini adalah juga kembara ilmu, bagi anak-anak rehlah ini mungkin tidak begitu difahami tetapi suatu hari nanti mereka akan menghargai detik menjejakkan kaki di bumi bersejarah ini.